Monday, 3 April 2017

PENGENALAN AWAL PADA HIKMAH SESUATU PERMATA

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengasihani


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh,

Segala puji dan puja hanya bagi ALLAH, Robb semesta alam. Selawat dan salam dilimpahkan kepada Junjungan Besar lagi Penghulu lagi Pemimpin, iaitu Nabi Muhammad Sollallahu 'Alaihi Wassalam, serta keluarga, para sahabat dan mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dikurniakan Iman, Islam dan Ihsan.

Admin ingin memohon maaf di atas kelewatan mengemaskini blog berikutan ketiada-upayaan Admin yang masih belajar melainkan dengan Pertolongan AL-HAQ AZZA WAJALLA jua. Ketahuilah olehmu bahawasanya AL-HAQ AZZA WAJALLA menciptakan permata pada alaminya adalah bertujuan sebagai alat perhiasan dan perumpamaan. Contoh perumpamaan yang berkaitan permata adalah seperti Firman ALLAH SUBHANA HUWA TA'ALA; 

"Mereka berada di atas dipan yang bertatahkan emas dan permata." 
(Surah al-Waqi'ah;ayat 15)

Lagi Firman ALLAH SUBHANA HUWA TA'ALA;

"Seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan"
(Surah Ar-Rahman;ayat 58)


Jika difahami dan dihayati, permata adalah perumpamaan dan perhiasan bagi syurga. Ada lain perumpamaan tentang batu iaitu sepertimana Firman ALLAH SUBHANA HUWA TA'ALA;

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
(Surah at-Tahrim;ayat 6)

Menurut dalil di atas, ini menjelaskan bahawa batu adalah bahan bakar di dalam neraka. Batu di dalam ayat di atas dinisbahkan kepada berhala yang disembah oleh musyrikin. Apabila difahami dan dihayati secara keseluruhan, dalam ayat di atas terkandung ancaman bagi orang-orang mukmin supaya jangan murtad, dan juga ayat di atas merupakan ancaman pula bagi orang-orang munafik iaitu mereka yang mengaku beriman dengan lisannya, namun hati mereka masih tetap kufur.

Sebelum ini, Admin memberitahu kefahaman Admin tentang permata ada mengandungi simbolik atau lambang atau perumpamaan yang terkait rapat dengan hati, dan dalil di atas adalah buktinya. Ada lagi dalil yang menguatkan pegangan Admin dalam hal ini sepertimana Firman ALLAH SUBHANA HUWA TA'ALA; "Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada ALLAH. Dan ALLAH sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Baqarah;ayat 74)

Nah, nampak tak bahawa batu itu dijadikan sebagai perumpamaan bagi hati yang keras?. Permata, pada asalnya batu yang melalui beberapa kaedah pemprosesan semulajadi di dalam bumi dan di ambil oleh manusia, lalu di proses lagi dengan mencanainya, menggilapnya dan sebagainya, sehingga terhasillah sebiji permata yang cantik, indah, berfaedah, dan bernilai tinggi. Begitu jugalah dengan hati kita pada Pandangan AL-HAQ AZZA WAJALLA.

Semakin cantik hati itu, maka semakin tinggi darjatnya di Sisi AL-HAQ AZZA WAJALLA...semakin jernih hati itu, maka semakin mahal di Sisi AL-HAQ AZZA WAJALLA. Begitulah perumpamaan permata-permata di dunia ini, contoh delima...semakin baik grednya, semakin mahal harganya, malah semakin tinggi penghormatan orang yang memandangnya. Oleh itu, kepada seluruh para pencinta permata, mari kita selami hikmah di sebalik kejadian permata dan buatlah pilihan hati sama ada ingin menjadi batu yang akan menjadi bahan bakar neraka atau menjadi sebutir permata yang ditempatkan sebagai alat perhiasan syurga. Jangan jadi seperti permata sintetik, kerana ia perumpamaan bagi sifat-sifat hati yang munafik...padanya terkandung yang asli dan palsu, yakni percampuran di antara yang haq dan bathil.

Insya'ALLAH, ini sahaja yang mampu Admin sajikan buat masa ni. Semoga ia bermanfaat dan menjadi panduan khusus dalam hal-ehwal pemakaian cincin. Kita akhiri dengan sepotong doa;


"DENGAN NAMA ALLAH...YAA ALLAH, KURNIAKANLAH KAMI KEFAHAMAN PARA NABI DAN HAFALAN PARA RASUL, SERTA MENDAPAT ILHAM DARIPADA PARA MALAIKAT YANG HAMPIR DENGAN-MU. YAA ALLAH, KURNIAKANLAH KAMI KESIHATAN...WAHAI ZAT YANG MAHA MENGASIHANI. SEMOGA SELAWAT DAN SALAM TERTUJU KEPADA NABI MUHAMMAD SOLLALLAHU 'ALAIHI WASSALAM, PARA AHLI KELUARGANYA SERTA PARA SAHABATNYA SELAMA-LAMANYA."
PERKENANKANLAH.